• 09 Nov 2024 | 07 Jamadil Awal 1446

24 Pelajar UniSZA Terima Komputer Riba

KUALA NERUS, 1 Februari - Seramai 24 pelajar dari 11 fakulti di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terpilih menerima komputer riba jenama Asus melalui manfaat wakaf UniSZA dari hasil Wakaf dan Infaq Syarikat Leos Technology.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani, Nur Syamiha Aqwa Mazlan, 20, berkata, pemberian itu dapat memudahkan dia untuk membuat tugasan dan belajar secara dalam talian.

Dia yang juga anak yatim piatu melahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima komputer riba percuma daripada  pihak UniSZA.

“Sebelum ini, saya berkongsi komputer riba dari kakak saya dan tidak mampu untuk membeli kerana wang tidak mengcukupi.

“Alhamdulillah, hari ini saya lega dan berterima kasih atas keprihatinan memberi komputer riba ini,” katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. 

Nur Syamiha berkata demikian ketika ditemui  selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023, di Pejabat Naib Canselor, UniSZA

Penyerahan komputer riba itu disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Lieos Technology Sdn. Bhd., Azli Abdul Aziz.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Hussin Mohd Ilias, 22, berkata pemberian itu sekali gus meringankan beban emaknya yang juga ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit

Katanya, dia sangat memerlukan komputer riba bagi menyelesaikan tugasan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.

“Sepanjang belajar saya guna komputer riba kakak saya yang sudah uzur. Jika ada tugasan yang memerlukan aplikasi yang canggih, saya akan pinjam komputer rakan atau ke makmal untuk menyiapkan tugasan. 

“Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya hari ini saya menerima komputer riba yang bersesuaian dengan jurusan saya daripada UniSZA, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.