Berita :
2,451 Pemeriksaan Dilaksana Pastikan Harga Barang Stabil
2,451 Pemeriksaan Dilaksana Pastikan Harga Barang Stabil
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
61

KUALA TERENGGANU, 18 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu melaksanakan 2,451 pemeriksaan menerusi Ops Pantau 2026 bagi memastikan kestabilan harga barangan serta pematuhan undang-undang perdagangan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.

Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, pemeriksaan yang dijalankan bermula 19 Februari sehingga kini itu, melibatkan pelbagai premis perniagaan termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 39 kes dikesan melibatkan pelbagai kesalahan.
“Daripada 39 kes itu antaranya melibatkan kesalahan timbang sukat serta tanda harga. 

“Ops Pantau 2026 yang mula berkuat kuasa pada 19 Februari lepas hingga 20 Mac ini bertujuan memastikan rakyat berada dalam suasana yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 di Giant Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan yang dijalankan memberi fokus ke atas beberapa perkara, antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan, pematuhan perundangan halal dan penjualan barang-barang keperluan Aidilfitri.

Sementara itu, beliau memaklumkan KPDN Terengganu turut mempertingkatkan keberadaan 118 orang anggota penguatkuasa di lokasi tumpuan pengguna termasuk bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika.

“Seramai 58 orang Pegawai Pemantau Harga KPDN Terengganu turut sama digerakkan bagi membantu pelaksanaan pemantauan harga di lapangan,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan