SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
250 Peserta Meriahkan Program Kayuhan Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Seramai 250 peminat sukan berbasikal menyertai program Kayuhan Ambang Merdeka di sini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bakal disambut Isnin ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu bermula dari Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang.
Kayuhan sejauh 17.1 kilometer (km) melalui Kampung Teluk Ketapang, Kampung Telaga Daing, Kampung Baru, Kampung Seberang Takir, Jambatan Drawbridge, Pasarnita dan berakhir di lokasi pelepasan disertai oleh pelbagai peringkat usia termasuk warga emas, belia serta kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas program ini juga dapat mewujudkan semangat perpaduan di kalangan peserta.
"Peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan melalui aktiviti berbasikal dan paling penting semangat cintakan negara.
"Malah, aktiviti sebegini juga salah satu cara mempromosikan pelancongan negeri, kerana laluan lokasi ini sememangnya merupakan daya tarikan pelancong, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan 'flag-off' Program Kayuhan Ambang Merdeka di Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.
Ariffin berkata, walaupun tiada acara besar-besaran sempena sambutan kemerdekaan di peringkat negeri disebabkan pandemik COVID-19, namun setiap DUN tetap mengadakannya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sebagai contoh, program kayuhan basikal diadakan hampir di semua daerah dalam skala kecil iaitu tidak melebihi 250 orang seperti ditetapkan.
"Penganjur terpaksa menghadkan penyertaan biarpun permintaan dari orang ramai begitu menggalakkan demi menjaga keselamatan semua pihak," ujarnya.