27 Penghuni Baitul Cakna Disantuni PKM Parlimen

HULU TERENGGANU, 26 Jun – Seramai 27 penghuni Baitul Cakna Lelaki Kampung Pelandan terima bantuan bekalan makanan asasi daripada Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu.

Penyelarasnya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, agihan sumbangan tersebut merupakan tanda kebersamaan dengan penghuni perkampungan hijrah tersebut dalam mengharungi ujian pandemik COVID-19.

Katanya, agihan  berupa keperluan asasi seperti beras, susu, tepung, minyak dan sebagainya itu sudah pasti akan membantu meringankan beban penghuni tersebut yang rata-ratanya  tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap.

"Sumbangan ini di hulurkan dalam tempoh PKP 3.0 ini kerana mereka tidak dapat mengusahakan aktiviti ekonomi sebagaimana sebelumnya.

“Usaha ziarah dan menyantuni golongan seperti ini perlu digalakkan agar dapat menyemaikan nilai kasih sayang dan kemanusiaan," ujarnya.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu dan Pengerusi JPKK Pelandan, Mohd Said Jusoh.

Beliau berkata, golongan lain seperti rakyat miskin, anak-anak yatim serta mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian yang lebih baik dan menyeluruh.

“Tambahan pula, sekarang ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19, jadi semua program kebajikan perlu diberi nilai tambah.

“Saya berharap, dalam tempoh yang sukar ini, sama-sama kita (masyarakat, NGO dan Sebagainya) gembirakan hati mereka dengan apa jua bantuan agar dapat membantu meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian mereka," tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Mohd Yazid berkata, Baitul Cakna Lelaki bernaung dibawah Badan Bukan Kerajaan NGO Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu yang merupakan antara sebuah pusat pemulihan penagih dadah dan pusat rawatan HIV.

“Perkampungan hijrah di Kampung Pelandan dikhaskan kepada golongan lelaki dan di Kampung Baru, Ajil juga merupakan salah satu penempatan ini.

“Di sini mereka berdikari menguruskan diri, bertani dan melakukan pelbagai kemahiran demi meneruskan kesinambungan hidup.

“Sumbangan ini amat dihargai dan terima kasih kepada mana-mana pihak penyumbang yang ingin berbakti terhadap komuniti ini,” ujar Amran