Berita :
28 Kompaun Hiburan Bernilai RM185,000 Dikeluarkan Sejak 2024, Kata Exco
28 Kompaun Hiburan Bernilai RM185,000 Dikeluarkan Sejak 2024, Kata Exco
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
105

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Terengganu tidak pernah berkompromi terhadap kesalahan berkaitan hiburan apabila sebanyak 28 kompaun bernilai RM185,000 telah dikeluarkan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, sekali gus menzahirkan pendirian tegas yang diambil kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan pihak yang bertanggungjawab sebagai pegawai pelesen.

“Dalam meluluskan sesuatu permohonan hiburan, PBT akan menilai berdasarkan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa termasuk Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 521 permohonan telah diluluskan di Terengganu. Selain itu, 28 kompaun telah dikeluarkan dalam tempoh 2024 hingga 2026 dengan jumlah nilai sebanyak RM185,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata tindakan tersebut membuktikan bahawa PBT tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan berkaitan hiburan.

“Insya-Allah, PBT akan sentiasa meningkatkan pemantauan bagi memastikan aktiviti hiburan yang dijalankan sentiasa mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” tegas beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan