300 Anak Terengganu Sertai Bengkel AI SAiBer 3.0

KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 300 anak muda dari seluruh Terengganu telah menyertai Bengkel Kuasai Artificial Intelligence & Media Baharu (SAiBer 3.0), yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS). 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata Artificial Intelligence (AI) adalah ilmu yang perlu dikuasai untuk kekal relevan dalam era digital.

“AI, atau Kecerdasan Buatan, adalah teknologi yang boleh belajar dan berfikir seperti manusia kini digunakan di seluruh dunia, dan anak muda kita tidak boleh ketinggalan. 

“Bengkel ini memberi peluang kepada anda semua untuk memahami asas AI dan meneroka potensi teknologi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SAiBer 3.0 di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma  Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Shah turut menjelaskan mengapa penting untuk mempelajari teknologi ini. 

“Majikan sekarang mencari tenaga kerja yang mahir dalam AI yang mana industri seperti kesihatan, kewangan, dan e-dagang semakin bergantung kepada teknologi ini. 

“Dengan kemahiran dalam AI, peluang kerjaya anak muda akan lebih terbuka,” jelasnya.

Namun begitu, beliau juga menekankan cabaran etika dan keselamatan yang datang bersama penggunaan AI. 

“Teknologi ini ada risikonya, terutama dalam soal privasi. Oleh itu, kita harus menggunakan AI dengan bertanggungjawab, selaras dengan nilai agama dan etika,” katanya.

Ahmad Shah turut mengumumkan bahawa i-MITS akan menganjurkan Bengkel Volcano Advanced AI untuk peserta yang telah menyelesaikan salah satu siri SAiBer tahun ini.

“Ini adalah peluang keemasan untuk mendalami ilmu AI ke tahap seterusnya.Saya harap peserta semua ambil peluang ini, belajar bersungguh-sungguh, dan gunakan ilmu ini untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.