3,000 Daki Bukit Serentak Sambil Kibar Jalur Gemilang



KUALA TERENGGANU, 26 Ogos--Sempena bulan kemerdekaan, pelbagai cara dan kreativiti ditonjolkan rakyat malaysia dalam menzahirkan semangat cintakan negara dengan cara tersendiri.

Di Terengganu lebih 3,000 peminat aktiviti sukan lasak menyahut cabaran  dengan melakukan pendakian di lapan bukit terpilih seluruh daerah secara serentak.

Kemeriahan itu dapat disaksikan bermula dari Bukit Keluang, Besut sehingga ke Bukit Harimau Menangis di Kemaman. Bukit bukit lain yang terlibat iaitu Bukit Besar (K. Terengganu), Bukit Temiang (Marang), Bukit Maras (K.Nerus/Setiu)), Bukit Jong (K. Nerus) dan Bukit Belimbing (Hulu Terengganu).


Penyelaras Program, Leftenan Kolonel  Che Adam A. Rahman berkata kesemua peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan umur itu menakluki lapan puncak bukit serentak di seluruh negeri itu dengan semangat kemerdekaan.

Menurutnya, mereka yang terlibat juga hadir dengan membawa jalur gemilang sambil mendaki bukit-bukit berkenaan.

"Program ini julung kali diadakan namun sambutan yang diterima oleh peserta di setiap daerah  sangat menggalakkan dan mendapat kerjasama para peserta di sepanjang pendakian.

" Walaupun rata-rata peserta tidak mengenali antara satu sama lain serta berbeza agama dan bangsa, sikap kerjasama yang ditunjukkan menonjolkan identiti rakyat Malaysia," katanya pemberita ketika ditemui selepas program.


Majlis Perasmian Terengganu Merdeka Hike telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, negeri, Ustaz Sulaiman Sulong.

Che Adam berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama kalangan kanak-kanak dan remaja.

Jelasnya,  biarpun program itu berkonsepkan santai dan riadah namun ia mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta.

Katanya lagi,  program itu dirangka menerusi gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tac Outdoor selaku penyelaras program.

"Terima kasih penyelaras bukit yang bersemangat menjayakan program; Hiking Maras Community, BB Hikers, KERABAT, Geng Supik Hitam, Kaki Kabat, Ngukah Walk Fit, Bauk Hikers dan Mpkk Kg. Temiang," ujarnya.




Tag: