KEMAMAN, 30 Oktober - Seramai 3010 Calon Peperiksaan Awam Malaysia dari 24 buah sekolah menengah di sini, menerima bantuan tunai RM100 seorang yang berlangsung dalam satu majlis di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata ia terdiri daripada 2747 calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 244 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 19 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM301,000.00.
Menurutnya, penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan kebajikan pendidikan rakyat.
"Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang terbaik untuk membina masa depan negeri dan negara yang makmur.
"Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri tanpa kompromi telah memperuntukkan puluhan juta ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai bentuk insentif pendidikan bertujuan demi melahirkan murid berilmu, berpengetahuan dan kemahiran insaniah yang tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing," jelasnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan sumbangan tersebut.
Dalam masa sama, Hanafiah turut mengingatkan, kejayaan saban tahun sewajarnya menjadi indikator kepada keberkesanan eksosistem pendidikan negeri, sekaligus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai jaguh pendidikan negara.
"Saya mengharapkan bantuan seperti ini menjadi pemangkin semangat kepada semua calon untuk berusaha lebih gigih, seterusnya mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
"Jadikanlah peperiksaan yang bakal kalian duduki ini sebagai langkah awal menuju impian besar iaitu melanjutkan pelajaran ke menara gading serta membina masa depan gemilang," ujarnya.
