Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
331 Nelayan Terima Bantuan Musim Tengkujuh
KUALA NERUS, 3 Januari – Ekoran tidak dapat ke laut musim tengkujuh, seramai 331 nelayan terima Bantuan Khas (Nelayan) Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.
Bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian disampaikan dalam satu majlis di sini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dalam ucapannya berkata, setiap tahun menjelang musim tengkujuh pihaknya akan mengenalpasti nelayan-nelayan yang terjejas kerana tidak dapat turun ke laut.
“Sebut sahaja Seberang Takir, pasti kita ingat para nelayan, sinonim dengan nelayan-nelayan, tambahan pula musim ini mereka tidak dapat turun menangkap ikan dan mencari pendapatan,
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, bile tiba musim tengkujuh, kerajaan akan mengenalpasti mereka yang terjejas dan mereka mestilah nelayan sepenuh masa dan bukan nelayan ‘part time’," jelasnya ketika dihubungi media.
Dalam pada itu, seorang penerima Mohd Zorni Md. Ali ketika ditemui selepas majlis berkata, beliau tidak turun ke laut sejak bulan November lagi.
“Waktu ini bahaya bagi bot kecil. Dijangka bulan Mac pula nelayan akan turn ke laut, buat masa ini duduk rehat lah di rumah dulu," ujarnya.
Seorang lagi, Ali Tawan menzahirkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.
“Bantuan hari ini Alhamdulillah sedikit sebanyak boleh menampung bebanan sehingga musim kembali seperti biasa nanti.
“Saya dan anak masing-masing mencari rezeki dengan turun ke laut, musim ini sedikit sukar lah," katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr. Haji Alias Razak.