36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA

HULU TERENGGANU, 1 Jun - Seramai 36 usahawan di Dewan Undangan Negeri Kuala Berang menerima manfaat menerusi Dana Peniaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada kali ini.

Adunnya, Dr Mamad Puteh berkata ia melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkan ke DUN-DUN di seluruh Terengganu buat pertama kalinya bagi memudahkan pengurusan bantuan tersebut.

"Setiap penerima menerima bantuan peralatan maksimum RM1,500 bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan mereka di samping meringankan beban.

“Saya berharap dengan bantuan ini semua usahawan dapat berniaga sebaiknya di samping mengembangkan lagi perusahaan melalui dana yang diperolehi," katanya ketika di Majlis Penyampaian Dana PUTERA Peringkat DUN Kuala Berang Bagi 2023 di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri,  usahawan pada hari ini perlu menggunakan peluang sedia ada dengan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Kita (usahawan) perlu berani mencuba untuk menceburi lapangan yang belum diterokai orang lain selaras pembangunan teknologi seperti jualan atas talian.

"Mereka yang mempunyai peribadi cekal, berani berusaha akan berjaya dalam apa yang dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.