40 Anak Yatim Terima Sumbangan Dari PTPTN
KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Terengganu menyampaikan sumbangan kepada 40 orang anak yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mereka, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merakamkan penghargaan buat pihak SSPN atas inisiatif bersama badan bukan kerajaan (NGO) Gong Tok Nasek (GTN) Care.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah mengadakan program yang sangat baik ini.
“Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan dapat menjadi tabung simpanan yang berguna untuk pendidikan anak-anak ini pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian di Balai Komuniti Kampung Gong Baru.
Menurut Pengurus Besar PTPTN Negeri Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid, program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar anak-anak yatim untuk persediaan simpanan masa depan.
“Alhamdulillah, sebanyak RM4,000 telah disumbangkan kepada 40 orang anak yatim, masing-masing menerima RM100 dan akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional mereka.
“Kami di pihak PTPTN berharap agar sumbangan ini dapatlah menjadi titik permulaan untuk anak-anak memulakan penabungan demi jaminan pendidikan yang berkualiti,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengerusi GTN Care, Abdul Razak Abdul Rashid.