40 Tahun Menanti Jalan Berturap
BESUT, 8 Disember - Kesulitan penduduk Kampung Bukit Mali di sini yang terpaksa menggunakan jalan raya rosak dan berlubang selama ini berakhir apabila jalan tersebut selesai diturap dan dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Mali, Mohd Nor Samat berkata, walaupun jalan yang diturap sepanjang 300 meter sahaja, tetapi ia amat bermakna buat penduduk kerana memudahkan pergerakkan mereka ke kawasan sekitar.
Katanya, keselamatan orang ramai juga akan lebih terjamin selepas jalan tersebut dibaiki.
"Alhamdullilah, penantian penduduk lebih 40 tahun untuk mendapatkan jalan berturap akhirnya tertunai.
"Jalan yang sedia ada sebelum ini amat menyedihkan dengan keadaannya yang becak membuatkan penduduk berdepan kesukaran untuk keluar masuk," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Katanya, beliau yang mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.