KUALA TERENGGANU, 3 April - TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Amal Infitah Kemaman meraikan 400 golongan asnaf melalui Program Ramadan Prihatin.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata sumbangan tersebut secara tidak langsung menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
Katanya, majlis kali ini yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman bertujuan membantu golongan asnaf terpilih dengan jumlah sumbangan sebanyak RM60,000 meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan DUN Air Puteh.
“Program yang kami laksanakan hari ini adalah salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bertujuan untuk mendekati dan menyantuni orang ramai yang merupakan tunjang utama dalam perniagaan kami.
"Kami tidak hanya beroperasi untuk mencapai kecemerlangan perniagaan, tetapi juga untuk memberikan impak positif kepada masyarakat sekeliling terutamanya tempat kami beroperasi," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, asnaf terpilih menerima bantuan berupa barangan asasi dan juga wang tunai.
Najman juga berkata hari raya merupakan hari yang bahagia namun buat mereka yang kurang berkemampuan, hari raya juga boleh menimbulkan kegelisahan kerana pada waktu perayaan, pelbagai urusan memerlukan wang.