400 Serikan Program Penghayatan Hari Arafah Peringkat Hulu Terengganu

Ustaz Maliaman berucap kepada para jemaah yang hadir.
Oleh: Muhammad Najib Ismail

Program Penghayatan Hari Arafah Peringkat Daerah Hulu Terengganu telah diadakan pada 21 Ogos lalu di Masjid As-Saajidin, Kampung Tok Gebok, Ajil Hulu Terengganu.

Kira-kira 400 penduduk sekitar hadir menyerikan majlis tersebut yang dimuatkan dengan aktiviti keilmuan dan keagamaan seperti quran hours, tadarus, munajat, zikir, doa, iftar jamaie, solat Maghrib, takbir raya serta kuliah maghrib.


Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim dalam ucapannya mengingatkan agar kita memperingati lima pengorbanan yang berlaku sejak zaman Nabi Adam lagi iaitu pengorbanan pertama yang berlaku pada zaman Nabi Adam yaitu pengorbanan yang dilakukan oleh anak beliau, Habil dan Qabil. Habil mengorbankan seekor kambing yang terbaik, manakala Qabil mengorbankan sayur-sayuran yang tidak elok. Akhirnya korban Habil yang diterima Allah.

Pengorbanan kedua yang dilakukan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail, dan beliau redha dan menuruti perintah Allah itu dengan ikhlas tanpa sebarang ragu-ragu. Akhirnya pengorbanan tersebut digantikan Allah dengan seekor kambing yang besar dan Nabi Ismail tidak terkorban.

Pengorbanan ketiga adalah pengorbanan Abdul Mutallib yang bernazar untuk mengorbankan seorang anaknya sekiranya dia mendapat 10 orang anak lelaki. Dan beliau mendapat 11 anak lelaki. Tetapi pengorbanan tersebut telah digantikan dengan 100 ekor unta sebagai ganti nazar beliau.

Ujar beliau lagi dalam kuliah maghribnya, pengorbanan keempat adalah pengorbanan para ulama. Contoh paling dekat adalah Abdul Rahman Limbong dalam peristiwa Kampung Padang Kacong, Telemong. 10 orang sahabat beliau telah dibunuh oleh pihak Inggeris kerana mempertahan Islam yang dipimpin oleh Abdul Rahman Limbong.

Pengorbanan terakhir adalah pengorbanan yang kita akan laksanakan sekarang untuk melakukan ibadah korban dengan menggunakan duit poket kita sendiri, bukan mengharapkan pengorbanan dari pihak lain.

"Akhirnya semoga kita dapat melaksanakan ibadah korban pada tahun ini dengan sebaik-baiknya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bukan sibuk nak buat kenduri untuk keluarga atau sebagainya. Betulkan niat dalam diri kita bahawa bahawa ibadah korban ini adalah untuk dibahagikan kepada orang yang berhak." tegas beliau.

Beliau juga turut memperkenalkan sahabat cina yang baru memeluk Islam yang juga peniaga kedai tayar di Pekan Ajil, saudara Lee.

Tag: