lightning-solid
Berita :
41 Kampung di Terengganu Berisiko Dinaiki Air Akibat Fenomena Air Pasang
41 Kampung di Terengganu Berisiko Dinaiki Air Akibat Fenomena Air Pasang
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
1382

KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Sebanyak 41 kampung yang terletak di 12 muara sungai di negeri ini dijangka dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula hari ini hingga 10 Disember.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Osman Abdullah berkata, limpahan air laut di pesisir pantai dan muara boleh menyebabkan banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai sekiranya hujan berlaku serentak dengan kejadian air pasang.

Katanya, antara beberapa lokasi di daerah Kuala Terengganu berisiko dinaiki air ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai, Taman Purnama, Kampung Pulau Rusa, Kampung Sekati dan Kampung Pulau Ketam.

Manakala katanya, di daerah Kuala Nerus pula melibatkan Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam.

"Di daerah Dungun kawasan dijangka terjejas ialah Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kg Che Lijah, Kampung Alor Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sura, Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau.

"Di daerah Marang pula lokasi dijangka dinaiki air ialah Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Mercang, Kampung Pulau Rusa Baru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Osman berkata, di daerah Setiu pula lokasi diramalkan terjejas ialah Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikiri dan Kampung Telaga Papan.

Selain itu, Osman turut menyenaraikan empat lokasi di daerah Kemaman yang dijangka terjejas iaitu Pulau Skepeng, Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.

"Di daerah Besut kawasan terlibat ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati kepada semua penduduk di kawasan terlibat dengan bencana alam ini supaya sentiasa berwaspada dengan perkembangan cuaca dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.


Tag :

Artikel Berkaitan