Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA NERUS, 5 Jun- Seramai 454 orang daripada 2,771 rakyat negeri ini yang berjaya ditemuduga mendapat pekerjaan di 89 syarikat berdaftar melalui Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan. Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahmam berkata, dalam tempoh tiga hari program tersebut diadakan seramai 3,245 orang telah mendaftar untuk ditemuduga.
"Ini merupakan satu rekod pencapaian yang sangat baik dicatatkan dalam negara di mana menerusi karnival dianjurkan ini ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan masing-masing.
"Ada antara mereka yang hadir baru sahaja diberhentikan kerja dan terus datang ke program ini untuk merebut peluang, jadi saya rasa ini satu mekanisme yang sangat baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada program JAKM , di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam.
Menurutnya, bagi mereka yang masih belum berjaya dinasihatkan agar tidak berputus asa serta sentiasa mendapatkan maklumat semasa di 38 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) kerana peluang pekerjaan sentiasa dikemaskini.
"Sejak kita hebahkan mengenai Pembangunan Sumber Manausia Terengganu (THRDC) bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) ramai syarikat yang menghubungi kita untuk turut berdaftar bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Jadi ia bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang mencari pekerjaan tetapi untuk majikan yang memerlukan tambahan pekerja,"ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohammed berkata, pihaknya sangat menghargai atas kerjasama baik yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.
"Maklumat baik ini telah disalurkan kepada akar umbi untuk memastikan ramai rakyat mengetahui program ini yang merupakan kerjasama diantara Kementerian Sumber Mansusia dan kerajaan negeri.
"Pada peralihan fasa pandemik ini makin banyak peluang pekerjaan yang telah didaftarkan melalui portal 'my future job' jadi orang ramai perlu mendaftar dan melihat sendiri akan bidang kerja yang ditawarkan," ujarnya.
Salah seorang yang berjaya mendapat kerja, Abdullah Syukri Hassan,22, berkata, dia sangat bersyukur kerana terus mendapat pekerjaan dalam bidang elektrik melalui syarikat Perkem Serumpun (M) Sdn, BHD.
"Saya bersedia untuk pergi ke Subang Selangor, di tempat saya akan memulakan kerja saya setelah tamat pengajian dalam bidang Diploma Komputer di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum Ramadan baru-baru ini.
"Keluarga saya turut bersama datang ke program ini serta berkongsi kegembiraan ini, tidak sangka dalam masa tidak sampai satu jam proses ditemuduga saya telah berjaya mendapatkan kerja ini," ujarnya.