KEMAMAN, 20 OKTOBER – Seramai 493 mangsa banjir dari kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menerima bantuan sebanyak RM250 seorang menerusi Dana Tabung Musa’adah JAKIM dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Sivik Air Putih, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana banjir, khususnya dalam memenuhi keperluan harian.
Beliau berkata, usaha membantu mangsa bencana memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan institusi agama, bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.
Hanafiah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia, Unit Takmir Negeri Terengganu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih serta semua pihak yang menjayakan penyaluran bantuan tersebut.

"Semoga setiap keluarga yang diuji terus tabah, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Sesungguhnya, dalam menghadapi musibah, keprihatinan dan keikhlasan sesama insan menjadi penguat bahawa mereka tidak bersendirian," katanya ketika merasmikan program tersebut.
