Jalur Gemilang
Berita :
PBT Terengganu Tingkat kesiapsiagaan Hadapi MTL
PBT Terengganu Tingkat kesiapsiagaan Hadapi MTL
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
224

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober -  Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu diarahkan meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula, termasuk memperkemas persiapan dan menambah baik kelemahan berdasarkan pengalaman banjir tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua PBT telah diingatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan banjir susulan negeri itu yang berdepan situasi berkenaan hampir setiap tahun.

Menurutnya, satu mesyuarat berkaitan persiapan menghadapi MTL juga telah diadakan baru-baru ini bagi memastikan semua pihak berkaitan bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Alhamdulillah, kita merupakan negeri yang berhadapan dengan MTL setiap tahun. Jadi, dari sudut persiapan, kita hanya perlu meningkatkan keupayaan dan membuat penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kita sudah mengetahui kekurangan dan kelemahan yang perlu ditangani berdasarkan pengalaman lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan PBT di Terengganu bagi menghadapi MTL tahun ini.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, kerjasama antara pusat khidmat masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut diperkukuh bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih mudah dan teratur.

Katanya, semua pusat khidmat masyarakat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat telah diarahkan supaya bekerjasama rapat dengan JKM, khususnya dalam penyediaan kelengkapan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, pusat khidmat masyarakat juga diminta mengambil inisiatif mendapatkan kelengkapan yang diperlukan daripada pejabat JKM, tanpa bergantung sepenuhnya kepada petugas jabatan itu.

“Kerjasama erat antara pusat khidmat masyarakat dengan JKM akan memudahkan urusan penyediaan dan penyaluran bantuan kepada mangsa atau penduduk yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Langkah itu diharap dapat memastikan keperluan asas mangsa banjir di PPS dapat disediakan dengan lebih cekap, sekali gus membantu melancarkan pengurusan bencana sepanjang musim MTL.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan