50 Mangsa Banjir DUN Bukit Besi Terima Bantuan

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 50 orang mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi baru-baru ini menerima bantuan berupa wang tunai dan keperluan asas. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.

“Walaupun bantuan yang diberikan ini tidak besar sangat  tetapi atas dasar tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, apabila menghadapi masalah dan musibah banjir seumpama  ini, maka kita perlu bekerjasama membantu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Misi Bantuan Banjir di Jerangau Sungai dan Rantau Panjang di DUN Bukit Besi, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Katanya, sumbangan tersebut adalah daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Sejahtera dan Syarikat Norlan United.

“Di peringkat kerajaan negeri isu yang berkait dengan kebajikan  rakyat menjadi perhatian kita dan berhubung dengan musibah termasuk  banjir itu antara perkara yang diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Kita digalakkan dan dituntut  untuk bertolong-tolongan dengan perkara kebajikan dan  perkara yang membawa  kepada kebaikan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat negeri ini agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kemungkinan ada berlaku lagi gelombang seterusnya.


Tag: