500 Peserta Konvoi Mega Ride Ukhwah Meriahkan Hulu Terengganu

Oleh: Muhammad Aqil Bin Mat Ali

HULU TERENGGANU, 4 Januari – Deruman lebih  500 buah motosikal berjaya membuka tirai tahun baharu melalui Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 anjuran Persatuan Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) di sini, semalam.  

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato Rosol Wahid berkata program yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti permotoran itu juga  berjaya menarik kehadiran  ahli dari pelbagai kelab motosikal di Malaysia.

“Saya rasa bangga atas inisiatif RAVM dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti bermotor yang disertai oleh golongan muda dan dewasa. 

“Ini termasuk  pemilihan lokasi program di Taman Strawberi Madrasah Darul Zahra yang turut memperkenalkan keindahan kawasan Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan unik,”ujarnya.

Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program termasuk sesi tazkirah ringkas, acara santai bersama keluarga, dan lawatan ke kawasan sekitar bagi mempromosikan keindahan serta keunikan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Presiden RAVM, Mohd Shahrul Azman Johari dalam satu kenyataan berkata  bahawa program itu bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah tetapi juga memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti permotoran.

“Melalui aktiviti seperti ini, kami berharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan persaudaraan di samping menyampaikan mesej positif kepada masyarakat mengenai gaya hidup bermotor yang bertanggungjawab,” katanya.

Program julung kali itu berjaya mencipta suasana penuh harmoni dan ceria, sekaligus meletakkan Hulu Terengganu sebagai tumpuan aktiviti komuniti permotoran pada awal tahun 2025.
 


Tag: