5,391 KIR Besut Terima Bantuan Banjir Sebelum Berakhir Mei

BESUT, 12 Mei -  Seramai 5,391 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini akan menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri sebelum berakhir Mei, ujar Menteri Besar Terengganu.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mangsa banjir berkenaan akan menerima RM1,000 sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

"Saya nak umumkan pemberian bantuan banjir kepada 5,391 KIR yang pada ketika banjir hari itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Besut.

"(Membabitkan) Hulu Besut 2,364 (KIR), Jertih ada 1,187, Jabi 664, Kota Putera 613 serta Kuala Besut 563.

"Insya-Allah kita akan bayar sebelum habis bulan ini, sebelum ini ramai yang tertanya jadi kita beri komitmen untuk melunaskannnya pembayaran ini setelah dilakukan sedikit proses,' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika beucap pada Perasmian Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jertih, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata tempat agihan bantuan berkenaan akan ditentukan kemudian dalam masa terdekat.

"Terima kasih kerana semua sabar menunggu walaupun saya dengar ada yang sedih, tertanya bila hendak menerimanya, tak apalah kesabaran tuan-tuan terjawab pada malam ini.

"Semoga ini menjadi ubat kepada yang datang ke dalam program Teguh Pertahan pada malam ini," ujarnya.