560 Murid 6A UPSR Tetap Diraikan


Terengganu akan membelanjakan RM280,000 sebagai insentif kepada 560 murid yang memperolehi 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017.

Sepanjang tempoh tiga tahun, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1.7 juta bagi menyediakan insentif RM500 kepada setiap murid berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, insentif RM500 kepada setiap murid cemerlang UPSR akan diteruskan sebagai tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya sebagai mengiktiraf kejayaan mereka.

Katanya, sejumlah RM1.3 juta dibelanjakan kepada 2,558 murid (2015),  RM135,500 kepada 271 murid (2016) dan RM280,000 pada tahun ini.

“Peningkatan 107 peratus calon mendapat semua A  berbanding tahun lalu membuktikan prestasi semasa UPSR negeri masih kekal di tahap terbaik dan membanggakan.

“Jadi kita meneruskan majlis menghargai kecemerlangan mereka pada awal 2018 sebagai suntikan semangat untuk mereka meneruskan kejayaan pada peperiksaan awam seterusnya dan menggunakan insentif itu untuk membeli keperluan persekolahan sesi baru,”katanya kepada Teganukita.

Beliau ditemui sejurus mengadakan pertemuan dengan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Keputusan mengadakan majlis kepada murid cemerlang itu juga menghentikan spekulasi kononnya insentif tersebut kemungkinan tidak diteruskan berikutan saranan Kementerian Pendidikan agar kejayaan dalam akademik di peringkat sekolah rendah itu tidak diraikan berlebihan selain prestasi semasa tidak lagi dijadikan perbandingan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai arahan Kementerian Pendidikan itu, A.Latiff turut bersetuju dengan keputusan itu dan mahu pelajar yang kurang cemerlang serta tidak bernasib baik tidak terus luntur semangat sebaliknya mampu mengubah keputusan pada peperiksaan seterusnya.

Tambahnya, perbandingan hanya dibuat di peringkat negeri tanpa melibatkan negeri lain dan di peringkat Pusat, selain hanya memfokuskan prestasi secara keseluruhan dalam peperiksaan itu.

Katanya, prestasi baik itu juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited di bidang pendidikan negeri bagi membentuk modal insan berkualiti selaras prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB).


Menurut beliau lagi, selain kelebihan kepada murid yang mendapat semua A, pelajar yang tidak memperolehi semua A termasuk minima 3A, 3B masih mempunyai peluang sama rata untuk memohon mana-mana Sekolah Berasrama Penuh, Imtiaz dan sekolah terpilih lain kerana mereka perlu menjalani ujian khas kemasukan selain syarat-syarat kelayakan lain.

Malah, A. Latiff berkata, sebagaimana digariskan kementerian, laporan Pentaksiran Sekolah Rendah Khamis lalu, bukan berdasarkan keputusan UPSR  semata-mata, sebaliknya turut membabitkan tiga komponen lain dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).


Berbeza berbanding tahun sebelum ini, keputusan UPSR 2017 juga mengambil kira pentaksiran bilik darjah (PBD); pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi).
Selain itu, keputusan itu juga tidak hanya mengambil kira banyak mana calon mendapat A dalam semua subjek, tetapi tiga komponen berkenaan turut diambil kira untuk melihat pencapaian murid secara keseluruhan.

Berdasarkan statistik 2017 di seluruh negara meningkat kepada 8,958 orang berbanding 4,896 orang pada 2016.

Hanya 2.1 peratus calon atau 8,958 calon memperolehi semua A, bertambah sekali ganda berbanding tahun lalu.

Daripada 443,794 murid Tahun Enam yang mengambil UPSR  di seluruh Malaysia tahun ini, 20,273 calon adalah dari Terengganu dengan 2.83 peratus mendapat 6A  berbanding  1.33 peratus  pada 2016.


Tag: