Berita :
DNeX Sertai Anak Syarikat TI Petroleum, Perkukuh Ekonomi Terengganu
DNeX Sertai Anak Syarikat TI Petroleum, Perkukuh Ekonomi Terengganu
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Terengganu terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga negara apabila Dagang NeXchange Berhad (DNeX), melalui anak syarikatnya, Ping Petroleum Limited, memperoleh 20 peratus pegangan ekuiti dalam TI Exploration & Production Sdn Bhd (TI EP).

TI EP merupakan anak syarikat kepada Terengganu Inc Petroleum Sdn Bhd atau TI Petroleum, di bawah kumpulan Terengganu Inc. 

Kerjasama strategik itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperluas penyertaan Terengganu dalam rantaian nilai tenaga, khususnya industri minyak dan gas negara.

Menurut Terengganu Inc, penyertaan DNeX melalui Ping Petroleum mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi besar sektor tenaga Terengganu.

Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai antara pemain penting dalam industri minyak dan gas Malaysia.

Transaksi tersebut turut menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang Terengganu Inc untuk memperkukuh penyertaan Kerajaan Negeri dalam keseluruhan rantaian nilai tenaga.

Ia juga dijangka membuka ruang kepada penciptaan nilai ekonomi yang mampan kepada Terengganu, selari dengan peranan Terengganu Inc sebagai syarikat pegangan pelaburan negeri.

Kerjasama berkenaan diwakili Pengerusi DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, bersama Naib Presiden Kanan Pembangunan dan Operasi Ping Petroleum, Muhamad Azhar Md Zain.

Terengganu Inc pula diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, yang juga Ahli Lembaga Pengarah TI Petroleum, bersama Naib Presiden dan Ketua Kluster Petroleum, Noor Tuah Jaafar.

Melalui kerjasama itu, Terengganu Inc dijangka dapat memanfaatkan kekuatannya sebagai syarikat pegangan pelaburan negeri bagi meneroka peluang pertumbuhan baharu dan nilai perniagaan dalam sektor tenaga.

Penyertaan DNeX juga mencerminkan trend semakin meningkat penglibatan entiti berkaitan kerajaan negeri dalam sektor huluan minyak dan gas negara.

Ia dilihat menyokong usaha lebih luas industri untuk memperkukuh penyertaan domestik serta mewujudkan nilai jangka panjang dalam ekosistem tenaga nasional.

Perkembangan ini penting kepada Terengganu kerana sektor tenaga kekal sebagai antara kekuatan utama negeri, selain berpotensi memberi limpahan ekonomi melalui peluang perniagaan, kepakaran tempatan dan penyertaan lebih luas dalam industri minyak dan gas.

Dengan kemasukan rakan strategik seperti DNeX melalui Ping Petroleum, Terengganu bukan lagi hanya dikenali sebagai negeri pengeluar petroleum, tetapi semakin memperkukuh peranannya sebagai pemain aktif dalam sektor tenaga negara yang berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan