Jalur Gemilang
Berita :
575 Unit Pam Bergerak Sedia Hadapi MTL
575 Unit Pam Bergerak Sedia Hadapi MTL
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
85

KUALA TERENGGANU, 4 November – Sebanyak 575 unit pam bergerak kawalan banjir di seluruh negara boleh menjadi sumber sokongan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk sekiranya Terengganu dilanda banjir luar biasa.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, pihaknya boleh menyelaras permohonan bantuan aset berkenaan daripada negeri-negeri lain melalui JPS Malaysia sekiranya berlaku keperluan tambahan.

Menurutnya, JPS Terengganu ketika ini memiliki 25 unit pam bergerak yang disifatkan mencukupi berdasarkan pengalaman operasi banjir pada tahun-tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah tersebut, 10 unit berada dalam kategori operasi, manakala 15 unit lagi disediakan sebagai aset simpanan untuk menyokong keperluan operasi apabila diperlukan.

"Sekiranya berlaku kejadian banjir luar biasa atau beberapa daerah dilanda banjir secara serentak sehingga memerlukan tambahan aset, JPS Terengganu akan menyelaras permohonan bantuan pam bergerak daripada negeri-negeri lain melalui JPS Malaysia," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penempatan pam bergerak akan diberi keutamaan di kawasan berisiko tinggi, khususnya lokasi yang kerap mengalami banjir dan berdepan masalah aliran keluar air ke sungai.

Katanya, antara faktor yang diambil kira termasuk fenomena air pasang, paras air sungai yang tinggi dan kewujudan halangan seperti ban atau benteng yang boleh menyekat aliran keluar air.

"JPS akan menempatkan pam bergerak lebih awal di lokasi yang dikenal pasti berisiko, khususnya menjelang MTL.

"Penempatan aset turut diselaraskan berdasarkan keadaan semasa, ramalan cuaca dan jangkaan risiko banjir bagi memastikan pam bergerak digunakan secara optimum di kawasan yang paling memerlukan," ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan