MELAKA, 3 November – Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan kerjasama promosi pelancongan yang lebih strategik bersama Kerajaan Negeri Melaka menerusi pertukaran kempen dan perkongsian paparan promosi digital di lokasi strategik kedua-dua negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, hubungan baik antara kedua-dua negeri membuka ruang untuk memperkukuh promosi silang destinasi, pertukaran budaya serta jaringan industri pelancongan.

“Saya melihat hubungan baik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Melaka ini sebagai satu peluang untuk kita saling melengkapi kekuatan masing-masing, khususnya dalam memperkukuh promosi silang destinasi, pertukaran budaya, jaringan industri serta pembangunan produk pelancongan yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertukaran Silang Budaya Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu sempena Program Truly Terengganu Tour (Siri Jelajah Melaka) 2026, di Dewan Kingston, Hotel 17 @ Dataran Pahlawan, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh berkata, pihak Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik inisiatif silang budaya berkenaan yang mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua negeri, khususnya dalam memperkasakan seni dan warisan budaya.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya amat mengalu-alukan dan menyambut baik inisiatif silang budaya ini yang membuktikan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Negeri Melaka dengan Kerajaan Negeri Terengganu mampu menghasilkan program yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasakan budaya,” ujar beliau.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat, termasuk penganjuran Festival Silang Budaya Melaka–Terengganu pada masa hadapan.
Dalam ucapannya, Razali turut memaklumkan bahawa Terengganu merekodkan 15.5 juta pelawat domestik dengan nilai terimaan pelancongan sebanyak RM5.8 bilion pada 2025.

Terengganu menawarkan enam kluster utama pelancongan, iaitu Kuala Terengganu City Centre, Pulau dan Pantai, Kenyir Geopark, Seni, Budaya dan Warisan, Alam Semula Jadi serta Pelancongan Islam.
Bagi kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 atau Visit Truly Terengganu 2027, sebanyak 17 acara utama dan 137 acara sampingan dirancang sepanjang tahun berkenaan.
Antara acara utama yang dirancang ialah Program Pelita Raya Terengganu pada Februari 2027, Pelancaran Musim Candat Sotong Terengganu pada April dan Mei 2027 serta Karnival Pantai Terengganu pada September 2027.
Program jelajah selama empat hari tiga malam itu melibatkan 55 orang delegasi Terengganu, termasuk 24 penunggang motosikal berkuasa tinggi, pemain industri pelancongan, pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta pasukan persembahan kebudayaan.