6,000 Pek Makanan Diagih Kepada Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya

DUNGUN, 8 Disember – Sebanyak 6,000 pek makanan telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Rakyat Jaya dan kampung-kampung sekitarnya semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pek makanan tersebut merupakan hasil sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Hanafiah atas kemurahan hati beliau yang menyumbang 6,000 pek makanan kepada mangsa banjir di sini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Dapur Rakyat KM (KHIDMAT Malaysia) Dungun, DUN Rantau Abang, yang diadakan di Surau Taman Rakyat Jaya pada pagi semalam.

Turut hadir ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dan Ketua KM Dungun, Khairul Ismail.

Menurut beliau, JPKK kawasan sekitar telah ditugaskan memasak 450 kilogram nasi dan 600 kilogram daging.

"JPKK terlibat ialah Taman Rakyat Jaya, Gong Pasir, Pulau Serai, Pelandang, Balai Besar, Bemban, Batu Tiong, Jalan Intan, Batu Putih dan Balik Bukit bergotong-royong memasak nasi dan lauk gulai dan singgang daging yang siap dimasak seawal  8 pagi. 

"Terima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir dari Dungun dan Kemaman datang awal pagi membantu membungkus dan mengagihkannya. 

"Usaha murni ini membuktikan semangat gotong-royong yang tinggi dalam membantu mangsa banjir, serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan," ujarnya lagi. 

Lebih 500 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang  berganding bahu membungkus dan mengagihkan pek makanan terbabit.

Di samping 21 buah kenderaan pacuan empat roda dari Kemaman dalam turut mengambil bahagian untuk memudahkan pengagihan ke kawasan yang terkesan.