634 Anak Terengganu Cemerlang Akademik Terima Penghargaan

KUALA TERENGGANU, 9 September- Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu meraikan kecemerlangan 634 anak Terengganu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023.

Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pencapaian yang sangat membanggakan itu membuktikan Negeri Terengganu tidak pernah ketandusan bakat-bakat bidang pendidikan yang hebat dalam pelbagai displin.

“Kejayaan yang dilakar para pelajar pada hari ini sudah semestinya akan menjadi penanda aras kepada pelajar lain untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan demi menjamin masa depan yang lebih baik.

“Pertingkat juga ‘softskills’ disamping ilmu pengetahuan global bagi membina keperibadian unggul serta kompeten, sekali gus menjadi nilai tambah unik yang tidak dimiliki oleh individu lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 634 pelajar anak Terengganu menerima penghargaan iaitu empat orang penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu serta seorang penerima anugerah khas.

Sementara itu, dua lagi penerima anugerah pelajar terbaik STPM dan STAM manakala seramai 627 orang penerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM & STAM.

Kesemua penerima Anugerah Pingat Emas menerima sehelai blazer, pingat emas, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM4,000 serta sijil penghargaan.

Sementara, penerima anugerah khas dan pelajar terbaik pula menerima sehelai blazer, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM2,000 serta sijil.