708 Kilogram Sampah Dikumpul di Pantai Tok Kita

KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Pantai Tok Kita di Chendering kini kembali bersih dan indah selepas Program Pembersihan Pantai Monsun.

Program tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 708 kilogram sampah dan botol, hasil limpahan Monsun Timur Laut baru-baru ini.

Pengerusi Geng Plastik Ija, Zulkifli Sarji, berkata program pembersihan pantai ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memastikan keindahan pantai-pantai di Terengganu terpelihara. “Ini adalah program ke-146 yang kami jalankan sepanjang tahun 2024. 

“Dengan sokongan ramai, kami telah berjaya mengumpulkan lebih 39 tan sampah dari pesisiran pantai bermula dari Kemaman sehingga ke Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Pantai Chendering, di sini baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan. 

“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan pantai-pantai kita kekal bersih, indah, dan menjadi kebanggaan bersama,” tambahnya lagi.

Menurut Zulkifli, program ini bukan sahaja berjaya membersihkan pantai tetapi juga memperkukuh hubungan antara komuniti melalui semangat gotong-royong. “Ia menjadi bukti bahawa usaha kecil yang dilakukan bersama mampu mencipta impak besar terhadap alam sekitar,” jelasnya.

Zulkifli turut menjelaskan bahawa acara tersebut adalah hasil kerjasama Geng Plastik Ija bersama Unit 6 Polis FRU Wakaf Tapai, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), SMK Sultan Sulaiman, dan penduduk setempat. 

“Kehadiran mereka memberikan inspirasi untuk terus menjaga warisan semula jadi yang berharga ini.

“Kini, Pantai Tok Kita kembali berseri, tidak hanya bebas daripada sampah tetapi juga menjadi simbol semangat cinta alam yang dilakukan dengan rendah hati dan tanggungjawab,” ujarnya.


Tag: