KUALA TERENGGANU, 21 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mendakwa sebanyak 80 peratus bekalan air ke Pulau Redang hilang dalam laut susulan kebocoran teruk paip dasar laut milik Syarikat Air Terengganu Utara (SATU).
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan hanya kira-kira 20 peratus bekalan air berjaya sampai ke destinasi walaupun sumber yang dikeluarkan adalah 100 peratus.
Menurutnya, paip air SATU di dasar laut dari Mangkuk ke Pulau Redang perlu diganti segera, manakala paip sedia ada di pulau berkenaan juga wajar ditukar baharu sepenuhnya bagi mengatasi kerugian yang telah lama berlaku.
“Saya dapati sumber keluar 100 peratus tetapi yang sampai 20 peratus sahaja, hilang dalam laut 80 peratus. Ini terlalu banyak.
“Menunjukkan kita berhadapan kerugian yang agak besar, jadi saya minta kerajaan negeri senaraikan berapa banyak kerugian yang telah dialami,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Justeru, Shafizi menegaskan adalah penting untuk kerajaan menyegerakan projek penukaran paip baharu di kawasan terbabit agar isu berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Kita mengharapkan agar ia berada dalam perancangan baharu kerajaan negeri,” ujarnya.
Tag :