84 Pusat Internet Di Terengganu Beroperasi Bantu PdPR

KUALA TERENGGGANU, 4 Februari - Sebanyak 84 pusat internet komuniti di Terengganu akan beroperasi bermula Ahad ini bagi menampung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pelajar-pelajar sekolah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak 20 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) turut beroperasi bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat.

"Kita ada 37 buah PINTAR keseluruhannya, namun hanya 20 yang akan beroperasi dahulu sementara proses naik taraf dilakukan.

"Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Terengganu juga membantu kita dengan membenarkan 64 pusat internet komuniti turut beroperasi bagi menampung keperluan PdPR pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media PINTAR Terengganu sebagai Hab PdPR di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri, Zuwislan Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman.

Jelasnya, usaha tersebut bagi menyelesaikan masalah internet pelajar dan perkakasan untuk PdPR yang diperlukan.

"Kita akan buka kepada para pelajar yang memerlukan untuk berkunjung ke sini secara janji temu di mana terdapat kemudahan 10 hingga 20 buah komputer di setiap PINTAR yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira lima pelajar dalam satu-satu masa, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 900 pelajar bagi satu-satu masa.

"Setakat ini, kita sudah dapatkan pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan sedang menunggu jawapan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk disesuaikan di PINTAR," katanya.

Tambahnya, 20 lokasi PINTAR yang akan beroperasi adalah Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Padang Luas, Hulu Besut, Seberang Kastam, Permaisuri, Guntung Luar, Batu Rakit, Durian Burung, Paya Keladi, Teluk Ketapang, Bukit Tunggal, Teluk Pasu, Kuala Berang, Manir, Alor
Limbat, Rhu Rendang dan Paka.

Maklumat berkenaan lokasi, operasi, SOP dan janji temu bagi PINTAR boleh didapati di portal top-it.com.my.

 

 

 


Tag: