87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Seramai 87 orang usahawan telah menerima pinjaman Pembiayaan Modal Program Jaya Diri yang berjumlah RM795 ribu daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Para usahawan tersebut juga akan diberikan kursus sepanjang tempoh pinjaman pembiayaan tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memajukan perniagaan mereka. 

Menurut Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, pinjaman pembiayaan tersebut akan sentiasa berjalan dan terbuka kepada semua yang berkelayakan untuk memohon. 

“Yayasan Pembangunan Keluarga telah menganjurkan pelbagai program di seluruh Negeri Terengganu bagi membangunkan kehidupan keluarga dan rakyat dengan lebih baik.

“Kita sebenarnya telah mengatasi beberapa masalah kekeluargaan di Negeri Terengganu seperti masalah kemiskinan, pendidikan kanak-kanak, kesihatan dan hubungan kekeluargaan,” kata Wan Mohd Zaki dalam ucapannya. 

Ucapan perasmian oleh ADUN Batu Buruk

Majlis yang diadakan di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Menurut Ustaz Muhammad Khalil, Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi sangat penting kerana ia merupakan punca kepada pembinaan masyarakat sejagat.

“Justeru, kerajaan Negeri Terengganu telah telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu rakyat membina keluarga yang sejahtera,” kata beliau. 

Beliau turut berharap agar inisiatif pinjaman pembiayaan ini dapat membantu meningkatkan lagi daya usaha dan kemampuan yang ada pada para usahawan tersebut.