90 Peserta Sertai Bengkel Pemantapan Asas Ilmu Faraid

HULU TERENGGANU, 24 Januari – Seramai 90 orang peserta tidak melepaskan peluang menyertai bengkel pemantapan ilmu faraid peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.

Pegawai Didik Ulama’ Amilin Terengganu DUAT DUN Ajil, Mohd Zaharuddin Sudin berkata program tersebut merupakan  anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil dan Didik Ulama’ Amilin Terengganu DUAT DUN Ajil dengan Kerjasama 3R Dynamic Training & Consultancy menyasarkan peserta dalam kalangan masyarakat setempat.

“DUN Ajil merupakan Siri jelajah ke-18 dalam negeri Terengganu yang diuruskan oleh pihak 3R Dynamic Training & Consultancy.

"Oleh kerana masih ramai dikalangan umat Islam yang masih tidak mengetahui ilmu faraid atau kurang kefahaman mengenainya maka DUAT DUN Ajil mengambil inisiatif dengan menganjurkan bengkel sehari berkenaan ilmu faraid,"ujarnya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, dalam bengkel ini peserta akan diberikan pendedahan tentang apa itu faraid atau pusaka, mengenal secara asas tentang waris, proses pengurusan harta dan soal jawab.

“Alhamdulillah masyarakat akan terus dibantu dalam mendapatkan pendedahan melalui siri-siri jelajah dan ceramah sebegini, serta sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman yang jelas tentang ilmu faraid walaupun pembelajaran secara asas sahaja,"ujar beliau

Bagi salah seorang peserta, Muhamad Aizat Aizami Azman berkata, generasi muda masakini perlu mengetahui dan memahami berkaitan ilmu faraid kerana kelalaian dan kealpaan umat Islam mempelajari ilmu faraid akan menyebabkan ilmu ini hilang selepas kematian para ulama, guru agama, asatizah yang pakar dan mahir dengannya.

Beliau yang juga Imam Masjid Kampung Machang berharap, program sebegini perlu diteruskan dari masa ke semasa supaya masyarakat terus memahami berkaitan ilmu tersebut.

Bagi guru Kelas Al-Quran & Fardhu Ain, Wan Mohd Aiman Arif Wan Musa pula berkata, keyakinan dalam dirinya dapat dipertingkatkan lagi dengan adanya program sebegitu yang menjadi amali dan latihan dalam kehidupan seharian.

“Pendidikan ini tidak mengira usia, mahu atau tidak, kita perlu mengetahui tentang ilmu faraid kerana kita semua akan meninggalkan dunia ini dan tidak boleh bawa masuk harta yang disimpan selama ini ke dalam liang lahad,"katanya.