MARANG, 9 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah mengagihkan 900 peranti kepada pelajar luar bandar bagi memastikan sesi pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dapat diikuti dengan baik.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan sebanyak RM351,550 itu akan dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan alatan berkenaan.

"Fasa pertama ini antara kriteria yang kita pilih adalah pelajar dari golongan keluarga B40 dan juga M40 yang melibatkan 70 peratus daripadanya berada dalam wilayah KETENGAH dan 30 peratus adalah di luar wilayah.

"Kita akan ada lagi fasa seterusnya yang kini dalam proses mengenal pasti mereka yang layak  dan betul-betul memerlukan, agar setiap  mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini memiliki satu peranti," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika sidang media program agihan  peranti berkenaan, di Pejabat Pendidikan Daerah Marang, di sini, pada semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Tengku Musa dan Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abdul Ghani.

Razali berkata, bagi memastikan proses pembelajaran itu berjalan dengan lancar, pihaknya juga telah turut mengemukakan masalah berkait liputan telekomunikasi yang lemah dialami penduduk KETENGAH.

"Sebenarnya pihak kerajaan telah sedia maklum, cuma saya tekankan lagi supaya dilihat lebih spesifik dan juga telah dibawa kepada pihak Suruhanjaya komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Wilayah ini berada di hujung Terengganu meliputi Hulu Terengganu, Kemaman terutamanya di kawsan pedalaman Daerah Dungun yang menghadapi masalah kritikal berkait liputan internet," katanya.

Sementara itu, Salim berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak KETENGAH atas insiatif berkenaan.

"Insya-Allah ini merupakan satu benda yang sangat besar bagi kami, kerana dapatan kami mendapati tugasan yang diberikan secara 'offline' tidak dapat disiapkan segera, berbeza secara atas talian segala tugasan  yang diberikan kepada pelajar dapat disemak segera.

"Jadi ini akan dapat meningkatkan kesungguhan para pelajar, ia merupakan satu anugerah yang bermakna diterima oleh mereka yang layak," katanya.

Dalam pada itu seorang pelajar, Nur Izzah Insyirah kamaruzaman, 15, berkata dia sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut.

"Di rumah bagi memastikan saya bersama dua adik yang berada di Tingkatan dua dan darjah lima tidak tercicir dalam pelajaran, ayah menyediakan satu telefon yang kami kongsikan bersama jadi agak susah menyiapkan kerja sekolah yang cikgu berikan.

"Sangat gembira terpilih menerima bantuan secara tidak langsung telah memudahkan saya untuk menghantar tugasan dengan cepat," katanya.


Tag: