91 Peserta Wakili Terengganu Ke HEBAT 5.0

KEMAMAN, 1 ogos - Pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan mengadakan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT 5.0) selama tiga hari bermula 2 Ogos ini di Pulau Jeha di Chenor, Pahang. 

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Hanafiah Mat, berkata, seramai 91 orang akan mewakili Negeri Terengganu terdiri dari gabungan pelbagai jabatan dan NGO dibawahnya.

"Jumlah tersebut terdiri daripada 81 peserta lelaki dan 10 peserta wanita yang akan diketuai oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu, Sauji Abdul Rasid.

"Peserta HEBAT 5.0 akan didedahkan dengan simulasi bencana bagi mempersiapkan anggota Khidmat Malaysia menghadapi situasi sebenar," ujarnya.

Tambah beliau, menariknya situasi simulasi bencana kali ini adalah menghadapi sebuah kampung yang ditenggelami banjir besar dan menjadikan ia sebuah pulau.

"Antara objektif HEBAT 5.0 adalah menyeragamkan garis panduan dalam pengurusan bencana dan menguji tahap kesiapsiagaan pasukan Khidmat Malaysia negeri-negeri.

"Justeru, saya mewakili kerajaan negeri dan Khidmat Malaysia Negeri Terengganu berharap, para peserta HEBAT 5.0 akan memperoleh pengalaman baru dan menjadi nilai tambah bagi menghadapi musibah tengkujuh yang saban tahun melanda negeri ini," ujarnya.

Antara jabatan dan NGO yang mewakili Terengganu kali ini adalah Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat, Yayasan Amal Malaysia Terengganu, Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu, Terengganu Adventure Group, GTN Care dan Pasukan Radio Amatur Terengganu.

 


Tag: