Lokasi kejadian merupakan lokasi yang sama meragut nyawa lima sekeluarga pada Disember 2015. |
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa yang merupakan bekas penuntut Akademi Binaan Malaysia (ABM) Johor, Mohd Aisar Hisyam Mohd Kamal, 22, cuba menyelamatkan adiknya, Nur Aifaa Diyana, 21, yang hampir lemas ketika mandi di kawasan air terjun terbabit bersama ahli keluarga yang lain.
Melihat keadaan itu, mangsa terjun untuk menyelamatkan adiknya sebelum kedua-duanya tenggelam ke dalam air dan salah seorang ahli keluarga hanya sempat menyelamatkan adik mangsa.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, PBK2 Zuraidi Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.00 petang sebelum menggerakkan lapan anggota dan satu jentera ke lokasi.
"Mangsa ditemui pada jarak 20 meter dari lokasi kejadian pada kedalaman lima hingga tujuh meter dengan bantuan pihak bomba dan orang ramai.
"Manakala adik mangsa telah diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian dalam keadaan pengsan dan diberi bantuan pernafasan. Mangsa kini mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu," ujarnya.
Mayat mangsa yang berasal dari Parit Sulong, Johor Bahru dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tujuan bedah siasat.
Untuk rekod, ini merupakan kes lemas pertama di kawasan perkelahan itu pada tahun ini dengan kejadian terakhir pada Disember 2015 yang membabitkan lima sekeluarga dan seorang pelajar politeknik pada 2017.