KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan Terengganu akan meneruskan penganjuran Terengganu Institutional Summit sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perjuangan pembebasan Masjid Al-Aqsa dan isu kemanusiaan di Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran kali ketiga tahun ini bertemakan perjuangan pembebasan Masjid Al-Aqsa sempena tiga tahun peristiwa Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.
Menurutnya, pelbagai program telah dilaksanakan sejak minggu lalu, termasuk perarakan bot dan aktiviti melibatkan golongan belia.
“Antara program lain ialah konvoi motosikal, khutbah Jumaat yang memberi tumpuan kepada isu pembebasan Masjid Al-Aqsa serta pengisian bersama tetamu antarabangsa.
“Kemuncak program malam ini ialah ceramah umum yang turut menyentuh perjuangan pembebasan Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media ketika diminta mengulas penganjuran program berkenaan yang turut menampilkan ucaptama oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Mufti Oman, Sheikh Ahmad al-Siyari.
Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri berharap program itu dapat diteruskan setiap tahun dengan pemilihan tema yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Mengulas mengenai tindakan susulan bagi memastikan resolusi yang dicapai tidak sekadar menjadi slogan atau kenyataan media, beliau berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan melalui pelbagai saluran, termasuk kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Katanya, perkara paling penting ialah memastikan kesedaran masyarakat terhadap isu pembebasan Masjid Al-Aqsa terus diperkukuh kerana perjuangan itu bukan sekadar isu umat Islam, malah melibatkan nilai kemanusiaan sejagat.
“Kita melihat kebangkitan masyarakat antarabangsa di seluruh dunia dalam menyuarakan bantahan terhadap penjajahan Zionis dan Israel ke atas bumi Palestin.
“Justeru, usaha menyebarkan kesedaran ini perlu diteruskan secara konsisten,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bantuan kepada rakyat Palestin juga diteruskan melalui NGO yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi memastikan sokongan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan.