Jalur Gemilang
Berita :
JKM Terengganu Salur RM200 Juta Setahun Bantu 40,000 Penerima
JKM Terengganu Salur RM200 Juta Setahun Bantu 40,000 Penerima
Rohayati Ripin
16 jam yang lepas
159

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mengekalkan peruntukan bantuan kebajikan sekitar RM200 juta setahun bagi membantu kira-kira 40,000 penerima di negeri itu.

Pengarahnya, Ismail Kasan berkata jumlah penerima masih berada pada tahap hampir sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan perubahan bergantung pada trend kemiskinan dan keperluan semasa.

“Setakat ini, jumlah penerima bantuan JKM masih dalam lingkungan 40,000 orang, melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta setahun.

“Peruntukan itu dikekalkan berdasarkan trend semasa, dengan jumlah penerima bantuan tidak melebihi 40,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Warga Emas dan Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 di Dewan Sivik Ajil, semalam.

Mengulas usaha mengurangkan kemiskinan, Ismail berkata tanggungjawab itu tidak boleh diserahkan kepada JKM sahaja, sebaliknya memerlukan penyelarasan pelbagai agensi kerajaan negeri dan pihak berkaitan.

“Basmi kemiskinan ini bukan sahaja kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia melibatkan pelbagai agensi, terutamanya di pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi lain yang memberikan perkhidmatan serta sokongan kepada rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai platform kerjasama antara agensi bagi merangka strategi mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ismail berkata kemiskinan mungkin sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan beban golongan terjejas dan membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Yang penting, penerusan kehidupan mereka berjalan dengan baik. Apa sahaja bantuan yang kita berikan adalah untuk memastikan kehidupan mereka dapat diteruskan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan