Abey Impi Beraksi di Pentas Final

KUALA TERENGGANU, 8 September – Penjaga gol utama Terengganu Football Club (Terengganu FC), Muhammad Rahadiazli Rahalim mengimpikan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam Perlawanan Akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) 10 September ini.

Rahadi atau lebih dikenali ‘Abey’ berkata, beliau teruja dan berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan nanti.

“Pada tahun lepas saya terpaksa berehat panjang disebabkan kecederaan. Tahun ni rezeki pasukan (Terengganu FC) ke ‘final’ jadi memang saya nak main nanti.         

“Harapan saya ingin membawa pulang Piala FA buat rakyat Teregganu selepas 11 tahun kali terakhir, insya-Allah tahun ini kita usaha sehabisnya,” katanya selepas turun menjalani latihan di Pusat Latihan Terengganu FC, Gong Badak, di sini malam tadi.

Walau bagaimanapun, dia yang berasal dari Kampung Telaga Papan akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh barisan kejurulatihan.

Abey kembali menjalani latihan buat kali pertama selepas insiden pelanggaran dengan pemain Melaka United dalam saingan Liga Super sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital Sabtu lalu.

Pada masa yang sama, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menzahirkan kesyukuran kerana tiada kecederaan serius yang dialami penjaga gawang pasukannya itu.

“Syukur Rahadi tiada kecederaan yang serius dan mula latihan hari ini (semalam). Kita akan pantau kondisi dia selalu.

 “Bagi saya tiada masalah bagi posisi penjaga gol kerana dua ‘keeper’ saya, Suhaimi dan Rahadi bersedia untuk diturunkan dengan prestasi terbaik,” ujarnya.


Tag: