• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Abu Al-Quran Dilupus Tujuh Batu Nautika

KUALA TERENGGANU, 24 September – Program Pelupusan Al-Quran Lama dan Rosak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar telah berjaya disempurnakan hari ini dengan pelupusan kiub abu Al-Quran sejauh tujuh batu nautika dari daratan, di perairan Terengganu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar,  Ahmad Shah Muhamed berkata program tersebut melalui kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan NGO Barakah Terengganu.

"Langkah ini menandakan fasa terakhir bagi usaha pengumpulan dan pelupusan al-Quran lama serta rosak yang dijalankan sejak beberapa bulan yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di perairan Sungai Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Shah (kiri) bersama wakil JHEAT,UMT dan NGO Barokah Terengganu ketika di perairan Terengganu.

Ahmad Shah berkata program itu bertujuan untuk memastikan kitab suci al-Quran rosak, dilupuskan mengikut kaedah yang tertib dan sesuai dengan syariat Islam. 

"Proses pelupusan melalui pembakaran terkawal dan pemampatan abu ke dalam kiub khas sebelum dilarutkan ke laut adalah satu pendekatan yang telah dipraktikkan dengan teliti. 

“Pelupusan al-Quran lama ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan betul, dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

"Terutamanya JHEAT, UMT, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bandar, NGO Barakah Terengganu serta institusi-institusi tempatan seperti Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), serta masjid-masjid dan surau-surau dalam kawasan DUN Bandar,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan program tersebut bukan sahaja mencerminkan kerjasama baik antara pelbagai agensi dan komuniti, tetapi juga memperlihatkan kepentingan memelihara kesucian al-Quran dan menghormati warisan agama.


Tag: