Berita :
Pembaikan Projek Pengairan Padi Hulu Terengganu Disambung Semula Mei Ini
Pembaikan Projek Pengairan Padi Hulu Terengganu Disambung Semula Mei Ini
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 22 April - Projek menaiktaraf sistem pengairan padi di Hulu Terengganu yang telah mencapai hampir 90 peratus kemajuan fizikal masih gagal disiapkan selepas kontraknya ditamatkan pada Disember tahun lalu, kini akan disambung.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, projek yang melibatkan Skim Pengairan Matang dan Skim Pengairan Kemat itu kini berbaki hanya 11.31 peratus untuk disiapkan.

"Projek Menaiktaraf Skim Pengairan Paya Kemat dan Skim Pengairan Matang, Daerah Hulu Terengganu, Terengganu telah dimulakan pada 28 November 2019 dengan tarikh siap asal pada 27 Mei 2021. 

"Projek ini kemudiannya telah diberikan lanjutan masa sehingga 23 Mac 2023. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan kontrak telah ditamatkan pada 18 Disember 2023. 

"Pada ketika penamatan kontrak, kemajuan fizikal projek di tapak telah mencapai 88.69 peratus, dengan baki kerja sebanyak 11.31 peratus masih perlu disempurnakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, hari ini. 

Menurutnya lagi, dua skim pengairan yang terlibat merupakan kawasan utama penanaman padi di Hulu Terengganu, masing-masing melibatkan keluasan 227 hektar di Matang dan 151 hektar di Kemat.

"Kedua-dua skim pengairan ini perlu dinaiktaraf bagi mendapatkan sistem pengairan yang lengkap dan sempurna dari segi pengagihan bekalan air," jelasnya kepada ahli dewan.

Tambah beliau, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini sedang dalam proses untuk melaksanakan tender semula bagi menyiapkan baki kerja projek tersebut.

"Untuk makluman, Pegawai Penguasa bagi projek ini adalah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Manakala, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu bertindak sebagai agensi pelaksana di peringkat negeri.

"Pihak KPKM kini sedang dalam proses untuk melaksanakan tender semula bagi menyiapkan baki kerja projek, dan iklan tender dijangka akan dibuat pada bulan Mei tahun ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pembiayaan projek berkenaan tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri.

"Jadi kita nak tengok siap juga lah dan projek ini tidak akan melibatkan dana Kerajaan Negeri," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan