Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Adakan Munajat Agar PM Kembalikan Royalti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Rakyat negeri ini diseru mengadakan munajat dengan melakukan solat hajat dan berdoa agar Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dilembutkan hati sekali gus memulangkan kembali hak royalti petroleum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat mencadangkan perkara berkenaan dilakukan oleh rakyat negeri ini dan turut bersetuju jika diadakan satu Himpunan Munajat Perdana bagi memastikan hasil petroleum itu dikembalikan.
Di samping kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar, Dato' Seri Ahmar Samsuri Mokhtar terus berusaha melakukan rundingan secara diplomasi dengan kepimpinan Kerajaaan Persekutuan.
"Saya percaya ini adalah cara yang terbaik kerana sebagai sebuah negara yang baik memiliki persefahaman antara kerajaan negeri dan pusat.
"Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih ADUN (daripada PN-PAS) yang ada di dalam dewan ini, sudah tentu sewajarnya hasil negeri ini diberikan untuk memastikan perbelanjaan yang terbaik untuk rakyat.
"Tidak sepatutnya diambil untuk diurus tadbir melalui agensi pusat yang sebelum ini kecil tetapi sengaja dibesarkan (peranan) dan ini merupakan satu pengkhianatan amanah terhadap rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai majlis munajat bagi menuntut royalti, katanya doa merupakan senjata muslim yang dengannya boleh melembutkan hati manusia asalkan isi kandungannya adalah baik.
"Jadi tidak mustahil kalau seluruh rakyat Terengganu setiap kali sembahyang berdoa supaya Allah SWT buka pintu hati pemimpin kita, buka pintu-pintu hati Ahli Parlimen.
"Mungkin suatu masa kalau majoriti Ahli Parlimen kita meminta agar diberikan kebebasan mentadbir negeri dengan hasil bumi sendiri tidak mustali Perdana Menteri akur dan mengikut kehendak majoriti," katanya.
Terdahulu, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mencadangkan agar suatu Majlis Munajat Perdana diadakan khusus bagi melembutkan hati pemimpin untuk mengembalikan semula hak royalti Terengganu dengan kadar hasil yang sepatutnya diterima mengikut harga pasaran semasa bahan mentah itu.