ADAPT Buka Peluang Usahawan Hasilkan Pembungkusan Menarik

Antara produk yang telah dihasilkan di bawah program ADAPT. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

'Advanced Technology Entrepreneur Development Programme' (ADAPT) anjuran MARA memberi peluang supaya produk yang dihasilkan oleh usahawan mempunyai pembungkusan menarik dan boleh dipasarkan sehingga ke luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, Nawi Mohamad berkata program tersebut juga menggunakan peruntukan yang disediakan oleh MARA.

Katanya, pelancaran produk baru iaitu Keropok Segera Ayam yang turut berada di bawah program ADAPT itu.

"Keropok itu merupakan keropok ayam pertama di Malaysia yang tiada perasa dan bahan pengawet yang mana diusahakan oleh Sinku Food Industries Sdn Bhd dan di formulasasikan oleh MARDI.

"Ini adalah produk baru namun demikian, MARA akan mempromosikan keropok ayam itu. Keropok ayam ini mungkin akan dibawa ke Dubai dalam masa terdekat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Usahawan dan Pelancaran 'My Best Product' di Hotel Permai, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Abdul Aziz Hassan, Pengarah MARA Terengganu, Mohd Azli Sobi, Pengarah MARDI Terengganu, Fadzlirahimi Ismail dan Pengarah Sirim Terengganu & Kelantan, Nor Azman Hassan.


Sementara itu, Pengarah Urusan Sinku Food Industries Sdn Bhd, Zaleha Mohamad berkata, snek yang pertama seumpamanya di Malaysia itu menawarkan kelainan kepada orang ramai dengan menggunakan 100 peratus isi ayam segar serta tidak mengandungi sebarang perisa atau pewarna tiruan.

Katanya, dengan pembaharuan itu secara tidak langsung dapat melebarkan sayap perniagaan syarikat yang sebelum ini hanya tertumpu di sektor makanan dan minuman (F&B) menerusi jualan keropok lekor di 43 outlet yang terdapat di rangkaian pasar raya seluruh Malaysia.

"Keropok Segera Ayam yang diformulasi oleh MARDI menerusi kerjasama dengan MARA ini dihasilkan dengan tiga variasi bentuk iaitu bulat, pop corn dan empat segi.

"Ia dijangka dipasarkan di seluruh outlet Leko-Leko dengan harga antara RM2 hingga RM4 bagi size 40 dan 70 gram," katanya.

Tag: