• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

ADUN Belia Agih 1,000 Bekas Bubur Asyura

Oleh : Syahida Mohd

KUALA NERUS, 14 Julai - Sebanyak 1,000 bekas bubur asyura telah diagihkan kepada jemaah masjid dalam Program Kacau Bubur Asyura 2024 yang berlangsung dengan meriah di Masjid Tebauk, Bukit Tunggal.

ADUN Belia Seberang Takir, Syukran Afifi, berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat keagamaan tetapi juga menyuburkan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama manusia.

"Program ini bertujuan untuk memperingati hari kebesaran Islam dan sudah menjadi acara tahunan bagi masyarakat di Malaysia untuk menyediakan bubur Asyura serta mengagihkannya bagi meraikan ketibaan bulan Muharram.

“Program ini merupakan satu bentuk solidariti dan kebersamaan dalam memperingati peristiwa penting umat Islam,” kata Syukran.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi ADUN Belia, Muhammad Fakhruddin Nordin merupakan ADUN Belia Kemasik, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya yang telah diwarisi sejak sekian lama. 

“Diharapkan agar Urus Setia Beliau Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) dapat memperluaskan program seperti ini di setiap DUN bagi menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” ujar Muhammad Fakhruddin.

Beliau menambah, aktiviti yang dianjurkan oleh ADUN Belia Terengganu berkolaborasi beberapa pertubuhan antaranya Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, UBSNT, Masjid Tebauk dan JPKK Taman Perumahan Bukit Tunggal.


Tag: