Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
ADUN Dibenarkan Berbaju Batik
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 15 November – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibenarkan berbaju batik lengan panjang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari khamis.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia berdasarkan peruntukan dalam perkara 121A (1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN.
“Ini adalah selaras dengan amalan di Parlimen sekarang ini dan juga bagi mempromosi negeri Terengganu sebagai negeri utama pengeluar batik di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, persidangan selama empat hari sudah tentu mengambil kira suasana ancaman Covid-19.
“Oleh sebab itu, atas nasihat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) terutama melalui Jabatan Kesihatan Negeri, pentadbiran DUN masih lagi mengekalkan SOP yang ditetapkan. Swab test kepada semua Ahli Yang Berhormat (AYB) dan ujian RTK (saliva test) akan diteruskan disamping mewajibkan pemakaian pelitup muka dan duduk secara berjarak.
“Bahkan pentadbiran DUN telah menambahbaik dengan memasang cermin penghadang di antara tempat duduk AYB sebagaimana di Parlimen. Oleh itu, para AYB boleh membuka pelitup muka hanya semasa menyampaikan ucapan dan masih perlu dipakai sepanjang berada di dalam dewan apabila tidak berucap,” katanya.
Beliau turut memohon maaf sekiranya semua SOP ini tidak memberi keselesaan kepada AYB, tetapi ianya penting untuk memastikan keselamatan bersama.
“Saya juga ingin menarik perhatian AYB sekalian supaya sentiasa mematuhi 'standing orders' sepanjang empat hari persidangan kita berjalan. Tugas seorang Speaker di antara lain adalah bagi memastikan persidangan DUN berjalan lancar.
“ Secara konvensionalnya, Speaker tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk memuaskan hati semua pihak atas setiap pembahasan dan soal jawab yang diutarakan. Oleh sebab itu urusan-urusan AYB bukan di sini tempat berakhirnya,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar semua ADUN agar tidak pentingkan diri dan cuba menarik perhatian dewan atau berusaha menjadi juara dalam dewan pada kali ini.
“Ini kerana banyak perkara atas nama kepentingan rakyat boleh diselesaikan diluar dewan dengan semangat ukhwah dan perbincangan yang sihat bagi memenuhi tanggungjawab kita kepada rakyat dan lebih-lebih lagi kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi.