Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 17 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said disaran menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika merasakan dakwaannya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 baru-baru ini benar.
ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hak untuk menyiasat dan membuat keputusan terhadap kesemua tuduhan itu adalah kuasa SPRM.
“Banyak perkara yang telah diberitahu oleh ADUN Kijal tadi, kalaulah dikatakan ia sebagai salah laku anggota pentadbiran kerajaan, adakah perkara itu sudah berada dalam pengetahuan SPRM.
“Pada pandangan saya, jika ada bukti, serah kepada SPRM, biarkan mereka menyiasat dan membuktikan, kita (kerajaan negeri) sangat terbuka dalam hal ini,” tegas Hishamuddin menjawab tuduhan Ahmad Said dalam persidangan DUN.
Dalam perkembangan sama, menjawab tuduhan adanya tangan ghaib sehingga menyebabkan kes itu tergantung dan tidak disiasat SPRM sepenuhnya, Hishamuddin berkata, tuduhan itu tidak mempunyai sebarang asas.
“Saya rasa tak timbul isu tangan ghaib di Putrajaya yang menyebabkan kes tergantung sebagaimana dakwaan ADUN Kijal, kerana yang berada di Putrajaya juga adalah daripada Barisan Nasional.
“Jadi kita serah kepada mereka untuk siasat dan buat keputusan, tak timbul tangan ghaib, ini tidak adil untuk kita bincang di sini, peraturan DUN juga tidak membenarkan, saya harap ADUN Kijal hormat perkara ini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat berkata, persidangan DUN bukan mahkamah untuk menyiasat, menangkap dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jika terbukti bersalah.
"Jika ada bukti bawa ke SPRM, persidangan DUN bukan mahkamah, bukan tempat untuk bincang dan buat keputusan mengenai isu terbabit, ia melibatkan tuduhan dan memerlukan siasatan, jadi tak sewajarnya dibincangkan di sini.
“Penahanan orang yang didakwa bukan bidang kuasa persidangan DUN, ia kuasa pihak berkuasa seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas Satiful menjawab kenapa individu tersebut tidak ditangkap.
Terdahulu, Ahmad Said mendakwa wujud kemungkinan salah laku membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dalan satu projek pelaburan pelitup muka.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, turut membuat penegasan supaya semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.
“Kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, sebarang spekulasi dibimbangi akan menimbulkan fitnah.
“Ia juga boleh mengakibatkan proses siasatan terganggu,” katanya.