KUALA TERENGGANU, 24 April – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan semua sekolah di negeri ini menangguhkan serta-merta sebarang aktiviti luar susulan cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.
Pengarahnya, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, pemakluman berhubung perkara tersebut telah diedarkan kepada semua sekolah dan berkuat kuasa bermula 20 April lalu.
Menurut beliau, penangguhan itu melibatkan semua program luar termasuk aktiviti air, manakala aktiviti dalam bangunan masih dibenarkan dengan pematuhan prosedur ditetapkan.
“Semua aktiviti luar seperti program 1 Murid 1 Sukan, unit beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan ditangguhkan.
“Keputusan ini dibuat bagi meredakan situasi semasa selain memastikan keselamatan murid sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa perhimpunan sekolah hanya dibenarkan diadakan pada awal pagi, manakala sebarang program yang dijadualkan pada waktu petang perlu ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih.
Dalam pada itu, JPNT sentiasa memantau situasi kebakaran dan jerebu terutama di daerah Kuala Nerus yang dilaporkan masih terkawal.
“Saya telah berhubung dengan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat terkini.
“Poster langkah pencegahan juga telah diedarkan kepada semua sekolah, namun buat masa ini belum ada keperluan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” ujarnya.
Tambah beliau, pihak sekolah diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk kesan jerebu, khususnya melibatkan pelajar asrama.
“Sekiranya terdapat pelajar mengalami simptom seperti sesak nafas, tindakan segera perlu diambil dengan merujuk mereka ke hospital serta mendapatkan nasihat PKD.
“Sebarang arahan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Tag :