KEMAMAN, 2 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris bersama komuniti setempat berganding bahu membantu seorang warga emas, Yaacob Chik, 82, yang diuji dengan penyakit strok sejak tiga bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata bantuan diberikan termasuk katil hospital boleh laras bagi memudahkan penjagaan harian beliau.
Katanya, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPKK Kampung Payoh.
“Kami memahami kesukaran yang dialami oleh saudara Yaacob dan keluarga dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Yahya berkata, Yaacob merupakan seorang bekas penoreh getah yang gigih menyara keluarganya suatu ketika dahulu.
Namun ujarnya, setelah diserang strok, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini bergantung kepada penjagaan ahli keluarga.
"Sebelum ini, beliau tinggal bersama anak bongsunya di Batu 14, namun setelah diserang penyakit, beliau berpindah ke Kampung Payoh untuk mendapatkan penjagaan lebih rapi daripada ahli keluarga yang lain," jelasnya.
Tambah beliau, pihak JPKK turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas seperti Yaacob yang sedang berdepan ujian kehidupan.
“Kesungguhan ADUN Kijal, JKM, dan komuniti menunjukkan betapa pentingnya sokongan padu dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara.
"Semoga Yaacob diberikan kesembuhan dan kekuatan dalam menempuh ujian ini,” ujarnya.