KUALA TERENGGANU, 12 November – Cadangan pembinaan empangan mini di hulu Sungai Berang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh disifatkan sebagai langkah proaktif bagi menangani masalah banjir yang saban tahun menjejaskan kehidupan penduduk setempat, terutamanya di Kampung Paya Besar dan kawasan berhampiran.
Menurut Dr. Mamad, isu banjir di Kuala Berang bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi kebiasaan setiap kali musim tengkujuh tiba dan perlu diselesaikan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
"Kawasan Kuala Berang sinonim dengan kawasan banjir sebagaimana di Hulu Besut, banyak kawasan yang terlibat dengan banjir terutamanya di Kampung Paya Besar dan kawasan sekitar dengannya.
"Banjir tersebut terjadi disebabkan oleh limpahan air daripada Sungai Berang yang berpunca dari hulu sungai di Belukar Bukit,” katanya semasa sesi Perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau menegaskan, pembinaan empangan mini di kawasan hulu adalah jalan terbaik bagi mengawal aliran air sungai dan mengurangkan impak bencana banjir kepada penduduk.
"Mengikut cadangannya supaya dibina empangan mini yang dapat menyelesaikan banjir di Hulu Terengganu.
"Langkah ini bukan sahaja dapat mengawal limpahan air, malah mampu menstabilkan sistem saliran semula jadi di kawasan hulu," jelasnya.
Dr. Mamad turut menzahirkan harapan agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan tersebut walaupun projek itu berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
"Diharapkan supaya diadakan empangan untuk mengurangkan banjir di Sungai Berang dan kawasan sekitar dengannya.
"Walaupun projek tersebut di bawah kerajaan persekutuan, namun ia penting demi kesejahteraan rakyat di Kuala Berang," ujarnya.