lightning-solid
Berita :
ADUN Ladang Cadang Penubuhan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak
ADUN Ladang Cadang Penubuhan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak
Mohamad Farhan Anam
11 Nov 25
211

KUALA TERENGGANU, 11 November — Isu keselamatan digital kanak-kanak menjadi tumpuan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor,  mengemukakan cadangan penubuhan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak (MKDKK) bagi menangani risiko dan ancaman dunia siber yang semakin membimbangkan.

Cadangan itu dikemukakan susulan insiden tragis di Batu Pahat, Johor yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera akibat dikelar oleh abangnya yang berumur sembilan tahun berpunca daripada pertikaian permainan dalam talian, Roblox.

Menurut Zuraida, kejadian tersebut jelas membuktikan bahawa pendedahan tidak terkawal terhadap kandungan digital boleh memberi kesan serius kepada emosi dan tingkah laku kanak-kanak.

“Kerajaan disaran menubuhkan MKDKK sebagai badan penyelaras utama untuk merangka dasar, memantau kandungan digital, dan melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian,” katanya semasa sesi perbahasan.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan sistem verifikasi umur yang ketat di semua platform digital bagi mengelakkan kanak-kanak daripada terdedah kepada unsur tidak sesuai seperti keganasan, bahasa kasar dan kandungan berunsur seksual.

“Kanak-kanak memerlukan mekanisme kawalan yang mampu menjamin capaian internet yang sesuai dengan had umur mereka,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan literasi digital dimasukkan dalam pendidikan awal kanak-kanak, termasuk di peringkat taska dan tadika, bagi membentuk kesedaran tentang penggunaan teknologi secara selamat dan beretika sejak usia muda.

“Peranan ibu bapa dan guru tidak boleh diketepikan. Latihan, bengkel dan panduan khusus perlu disediakan agar mereka mampu membimbing serta memantau anak-anak dalam dunia digital yang mencabar ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, penggunaan aplikasi pemantauan perlu dioptimumkan sebagai langkah kawalan tambahan dalam memastikan keselamatan anak-anak di alam maya.

“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, saya yakin kita dapat membina persekitaran digital yang lebih selamat, sihat dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya mengakhiri perbahasan.


Artikel Berkaitan