KUALA TERENGGANU, 11 November — Isu keberkesanan pelaksanaan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menzahirkan kebimbangan terhadap tahap penguasaan Fardhu Ain dalam kalangan murid.
Menurut beliau, fungsi utama seorang ADUN bukan sahaja menyokong dasar kerajaan negeri, tetapi juga bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan segala dasar dilaksanakan dengan telus dan berintegriti.
“Saya mendapat maklumat daripada beberapa pihak bahawa keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di negeri kita antara yang terbawah berbanding negeri-negeri lain. Saya mohon agar YB Exco dapat menentusahkan perkara ini dengan mengemukakan data yang berkaitan,” katanya semasa membahaskan usul dalam sidang tersebut.
Beliau menegaskan, sekiranya perkara itu benar, kerajaan negeri perlu memandang serius dan segera melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan program KAFA yang sepatutnya menjadi platform utama dalam membentuk sahsiah serta kemenjadian murid.
“Saya juga menggesa kerajaan menilai semula aspek kelayakan dan kompetensi guru KAFA, kadar elaun, serta kekerapan kelas. Selain itu, pertimbangan wajar diberikan kepada pelaksanaan KAFA Plus bagi murid tahun enam,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan agar kemudahan pembelajaran KAFA diperluaskan ke ruang komuniti seperti masjid, surau dan balai raya bagi mengoptimumkan penggunaan fasiliti sedia ada.
“Negeri lain telah membuktikan bahawa penggunaan fasiliti komuniti mampu meningkatkan capaian, penyertaan dan kesinambungan pembelajaran. Terengganu wajar mencontohi pendekatan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zuraida turut mencadangkan agar kempen kesedaran masyarakat mengenai kepentingan KAFA dan UPKK dipergiatkan khususnya dalam kalangan ibu bapa.
“KAFA tidak boleh dilihat sebagai pilihan, tetapi sebagai kewajipan dalam pembentukan identiti dan akhlak umat Islam,” katanya mengakhiri perbahasan.